Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjalankan tugasnya dengan baik dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan salah guna kuasa.

Oleh sebab itu, beliau dilantik semula untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa Jumaat yang lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab kritikan segelintir pihak tentang lanjutan jawatan Azam baru-baru ini.

“Dia dilantik oleh Perdana Menteri Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan walaupun ada isu yang dibangkitkan dulu dari segi kerja dan saya tengok dan saya bagi kelonggaran kepada SPRM dan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk menjalankan tugas.

“Setakat yang saya lihat mereka telah menjalankan tugas dengan memuaskan dia mengambil tindakan tanpa memilih puak atau parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurut Anwar, dalam sejarah belum pernah pejabat-pejabat menteri digeledah seterusnya pegawai kerajaan yang terlibat dengan rasuah dikenakan tindakan.

“Belum pernah dalam sejarah pejabat-pejabat menteri digeledah dan dikenal pasti beberapa kompromi tentang tindakan pegawai dan terus tindakan diambil sementara siasatan dijalankan,” tambah beliau.

Pelantikan semula Azam berkuat kuasa Jumaat lalu diperkenan oYang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan berkenaan adalah untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa 12 Mei 2023.

Azam mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Anwar pernah menggesa supaya Azam ditangkap dan disiasat atas kontroversi pemilikan saham bernilai jutaan ringgit dalam sebuah syarikat pada 2015.

Azam bagaimanapun menafikan sebarang salahlaku dalam perkara tersebut. – MalaysiaGazette