Mohamad Hassan
Mohamad Hassan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 September ini, manakala PRK DUN Seri Setia memberi laluan kepada Pas.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, dalam mesyuarat hari ini juga BN bersetuju MCA meletakkan calon di PRK DUN Balakong dengan menggunakan logo parti itu sendiri bukan lambang dacing.

Beliau berkata, faktor BN tidak meletakkan calon di PRK DUN Seri Setia kerana untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu kerana faktor itu antara punca BN kalah teruk.

“Pagi ini kita mengadakan mesyuarat BN. Mesyuarat pertama selepas PRU-14. Kita berbincang berkenaan PRU-14 dan hala tuju BN khususnya juga membentangkan ulasan berkenaan PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu.

“Kita juga membincangkan prestasi BN ketika PRK Sungai Kandis dan dalam masa sama kita berbincang berkenaan dua PRK yang perlu diadakan selepas ini ialah DUN Balakong dan DUN Seri Setia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN hari ini.

Mengenai penggunaan logo parti, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pihaknya menerima surat secara rasmi dari MCA untuk menurunkan calonnya mewakili BN dan turut memohon untuk menggunakan logo parti sendiri.

“Ini selaras dengan hasrat BN untuk kita mengukuhkan parti dan menggerakkan jentera parti masing-masing. Kita juga mengambil kira BN baharu saja mengambil bahagian dalam PRU 14 dan kita tahu prestasi kita sejauh mana kalau menggunakan logo BN.

“Kali ini kita mahu parti komponen mengerakkan untuk mengukuhkan parti masing-masing. Maka peluang PRK ini kita jadikan sebagai tempat uji kaji untuk melihat sejauhmana parti kita dapat bergerak,” katanya.

Beliau menjelaskan, dengan membenarkan parti menggunakan logo masing-masing pada PRK ini tidak bermakna BN makin berpecah.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, BN telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk melihat dan mengkaji ataupun memulihkan semula parti induk itu. – MalaysiaGazette