Aidi Sham Mohamed.

PORT DICKSON – Polis meluluskan sebanyak 108 permohonan ceramah sepanjang 12 hari berkempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, jumlah itu dari tarikh penamaan calon pada 29 September lalu sehigga hari ini.

“Sebanyak 54 permit ceramah telah diluluskan kepada Pakatan Harapan (PH), manakala 11 kepada parti Pas, dan 43 kepada lima calon bebas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, sebentar tadi.

Sehingga semalam, 37 laporan polis telah diterima pihaknya menjelang berbaki dua hari lagi tempoh berkempen di Port Dickson.

“Pada hari ini, jam lebih kurang 11.50 pagi pihak polis telah menerima satu laporan polis oleh seorang individu yang bertugas sebagai Ketua Jentera Logistik yang mendapati poster yang digantung di bangunan disyaki dipotong talinya,” jelas beliau lagi.

Bagaimanapun, tidak tindakan lanjut diambil oleh pihak polis.

Sepanjang tempoh kempen, sebanyak 36 laporan polis telah diterima dan hanya tiga laporan yang dibuka kertas siasatannya.

Ia melibatkan kes ugutan antara dua individu di Lukut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan namun tidak tindakan lanjut dibuat. – MalaysiaGazette