Jemaah Islam yang menziarahi Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah. Gambar arkib MalaysiaGazette

Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

RABIULAWAL adalah bulan yang sinonim dengan sambutan maulidu rrasul atau maulid Nabi Muhammad SAW. Kaum Muslim seluruh alam akan menumpukan usaha mereka pada bulan tersebut untuk meninggikan syiar serta ingatan mereka kepada junjungan besar mereka yang merupakan kekasih Allah SWT. Oleh itu tidak hairanlah pendirian Michael H. Hart yang meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai insan yang paling berpengaruh dalam sejarah manusia sebagaimana yang tertulis di dalam beliau berjudul ‘100 most influential people in the world”.

Sesetengah negara di kalangan negara-negara Islam seperti di Mesir akan memulakan kehangatan sambutan maulid Nabi ini bermula sejak masuknya Rabiulawal lagi dan kemuncaknya akan dianjurkan pada malam 12 Rabiulawal. Sambutan yang diserikan dengan bacaan al-Quran, deklemasi syair pujian kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta syarahan adalah satu fenomena biasa yang kedengaran dalam majlis-majlis tersebut. Perkara yang sama juga berlaku di Malaysia serta negara-negara jiran seperti Singapura dan Selatan Thailand, malah lebih meriah lagi di Indonesia. Bacaan selawat, burdah dan berzanji akan didendang bersama-sama bagi menghangatkan lagi ingatan dan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Burdah dan Berzanji

Burdah, atau lebih tepatnya Burdah al-Busiri, adalah satu himpunan syair dalam bahasa Arab yang mengisahkan sirah hidup Nabi Muhammad SAW dalam seni bahasa yang begitu indah. Ia telah dikarang oleh al-Imam Muhammad bin Sa’id al-Busiri yang wafat pada tahun 1295M, berasal dari Algeria dan dikebumikan di Iskandariyah, Mesir. Sekalipun ia telah dikarang lebih dari tujuh abad lamanya, karya tersebut masih lagi dibaca dan diamalkan di setiap negara Islam, terutamanya negara-negara Arab bagi menghidupkan ingatan umat Islam kepada rasul dari Bani Mutalib itu, Nabi Muhammad SAW.

Berzanji pula adalah hasil karangan al-Imam al-Sayyid Jaafar bin Hasan al-Husayni al-Barzanji yang berjudul ‘Iqd al-Jawhar fi Maulid al-Nabi al-Azhar. Karya ini lebih masyhur di negara kita dengan nama ‘al-Barzanji' dan diterima menjadi satu istilah Bahasa Melayu dengan nama berzanji. Seperti mana Burdah, Berzanji juga dibina dengan keseniaan syair Arab yang tinggi, mengisahkan sirah Nabi Muhammad SAW bermula dari sebelum kelahiran baginda sehinggalah peristiwa-peristiwa besar seperti perang Badr, Uhud dan Pembukaan Kota Mekah. Gaya uslub bahasa yang indah membuatkan
ia mudah dibaca secara biasa atau dilagukan mengikut irama-irama tertentu, sesuai dengan tingkatan suara dan lagu yang ada dalam pembacaan al-Quran.

Kemasyhuran kedua-dua karya ini tidak pula merendahkan keelokan dan kehebatan karya-karya maulid yang lain, seperti Maulid al-Daiba & Simth al-Duror, dan Dhiya al-Lami' yang masyhur di Yaman dan negara serantau. Kepelbagaian karya dan bentuk puji-pujian ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menzahirkan rasa sayang dan penghargaan kepada insan kamil ini serta mewariskan perasaan tersebut dari generasi ke generasi, sehinggalah ke hari ini. Hal ini adalah semata-mata untuk meraih kelebihan yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman kamu sehinggalah aku ini lebih dicintainya berbanding anak, ayah serta manusia sekaliannya” (Riwayat Abu Daud).

Pujian kepada Nabi adalah warisan para Sahabat yang mulia

Ramai yang beranggapan bahawa perbuatan memuji Nabi Muhammad SAW adalah perkara bidaah yang hanya dimulakan selepas kewafatan baginda, walhal ia adalah perkara yang telah pun wujud sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat. Al-Imam Muhammad bin Muhammad bin Sayyid al-Nas al-Yakmari, seorang ulama hadis yang wafat di Mesir pada 1334M telah mengarang sebuah kitab bertajuk Minah al-Midah yang menghimpunkan individu-individu dari kalangan Sahabat yang pernah dirakamkan syair mereka dalam memuji Nabi Muhammad SAW. Jumlah mereka lebih dari seratus orang, sepertimana yang terkandung dalam kitab tersebut.

Saidina Hasan bin Thabit dan Abdullah Rawahah RA adalah Sahabat yang paling terkenal dengan kelunakan lidah mereka memuji Nabi Muhammad SAW. Walau bagaimanapun, al-Imam Sayyid al-Nas menyenaraikan banyak lagi nama yang jarang dikenali dari kalangan mereka yang pernah memuji Nabi SAW menerusi syair-syair mereka. Nama-sama seperti Anas bin Zanim, Bujair bin Zuhair, Harb bin Raitoh adalah antara nama para Sahabat yang pernah memuji Nabi Muhammad SAW melalui syair-syair mereka.

Pengukuhan hubungan antara umat dan Nabi Muhammad SAW

Amalan maulid yang diamalkan pada hari ini adalah satu manifestasi umat Nabi Muhammad SAW dalam menyimpulkan kasih sayang mereka kepada insan yang mulia ini. Tidak dinafikan, amalan maulid tersebut adalah semata-mata satu wasilah, dan bukannya satu matlamat yang wajib dilaksanakan. Meskipun begitu, memandangkan ia telah luas tersebar dan menjadi satu adat dan budaya di sesetengah tempat, amalan itu dilihat satu kemestian dalam setiap perhimpunan bagi memperingati insan intimewa ini.

Sesuatu perkara yang sering disebut dan diulang-ulang pasti memberikan impak yang baik sekurang-kurangnya ia mampu membina ingatan yang teguh kepada objek yang disebut. Ia boleh disamakan dengan proses hafalan yang memerlukan kepada tindakan mengulang-ngulag bagi membolehkan seorang penghafaz itu dapat mengingati ayat dan kalimah yang dihafal. Demikian jugalah halnya dengan amalan maulid dan berzanji yang diharapkan dapat membina satu ingatan yang kuat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dan seterusnya menerbitkan perasaan cinta dan rindu kepada kekasih Allah SWT ini.

Maulid bukan terhad hanya pada Rabiulawal

Mencintai Nabi Muhammad SAW tidak perlu dihadkan dengan masa dan tempat. Justeru, perayaan maulid ini tidak seharusnya dihidupkan hanya ketika bulan Rabiulawal sahaja, malah sewajarnya dihidupkan setiap minggu atau bulan. Anjuran ini telah pun disebut oleh Nabi Muhammad SAW sendiri sejak lebih 1,400 tahun yang lalu dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Sayuti menerusi karyanya al-Jamik al-Soghir yang bermaksud: “Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintaiku; mencintai ahli keluargaku; dan membaca al-Quran”.

Mudah-mudahan sambutan maulid Nabi tahun ini akan lebih memberi makna yang berpanjangan kepada kita dalam membina titian cinta terhadap Nabi Muhammad SAW. Semoga kita semua mendapat keberkatan dan syafaat dari baginda dalam kehidupan dunia yang sementara ini serta di akhirat yang abadi kelak.

Salam Maulidurrasul 1445H.

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya