Noh Omar

SHAH ALAM – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) melanjutkan penangguhan pembayaran balik pembiayaan ke atas prinsipal dan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus  sewa premis perniagaan sehingga enam bulan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pemberian moratorium itu akan bermula dari 1 Julai hingga 31 Disember 2021 bagi membantu peniaga yang terkesan akibat Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Seramai 230 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula 1 Julai ini.

“Inisiatif ini melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.89 juta,” katanya pada sidang media di bangunan Kumpulan Muara, di sini hari ini.

Selain itu, PUNB juga memberi penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal membabitkan 2,330 Rakan Usahawan PUNB dan 718 penerima pembiayaan Bumiputera Relief Financing (BRF).

“Semua Rakan Usahawan PUNB telah mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 secara automatik layak menerima inisiatif ini.

“Usahawan yang ingin menolak penangguhan pembiayaan perniagaan boleh memaklumkan kepada pegawai pemantau akaun mereka dan membuat pembayaran seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Noh juga memuji sikap beberapa syarikat yang menolak inisiatif moratorium itu dan mahu membuat pembayaran balik seperti biasa.

“Saya rasa bangga dengan usahawan-usahawan Bumiputera, walaupun kita telah berikan moratorium secara automatik kepada usahawan-usahawan PUNB.

“Tapi ada 87 syarikat tidak ambil moratorium dan terus bayar seperti biasa,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan, Noh berkata PUNB akan memberikan usahawan terbabit lima bintang dalam penilaian dan laluan pantas kepada pembiayaan seterusnya.

“Kalau dia nak buat pinjaman akan datang, kita akan berikan keutamaan dengan lebih cepat. Antara syarikat yang tidak mengambil moratorium ialah klinik, farmasi, bengkel, kedai emas dan restoran.

“Ini kerana mereka merasakan masih boleh menjana pendapatan walaupun PKP, mereka masih boleh beroperasi seperti biasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette