Hasni Mohammad bercakap sesuatu kepada pelajar tahfiz ketika hadir pada Majlis Pelancaran Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA) di sini semalam.

JOHOR BAHRU – Sekolah-sekolah tahfiz di negeri ini disaran menawarkan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu serta kemahiran tambahan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, selain ilmu agama, program TVET bertujuan membolehkan para pelajar berkenaan dapat menimba ilmu dan kemahiran tambahan yang diharap dapat membantu mereka mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Saya secara peribadi mengharapkan agar semua institusi pendidikan Islam dapat melahirkan anak-anak pelajar yang bukan sahaja alim dalam bidang agama, juga mahir dalam bidang lain untuk memberi sumbangan fardu kifayah kepada masyarakat.

“Program TVET ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu pelajar sekolah agama, tahfiz dan pondok di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA) di sini.

Hasni berkata, kerajaan sentiasa komited dalam merancang pelan pendidikan bersepadu untuk para pelajar, sama ada dalam bidang akademik mahupun keagamaan terutamanya bagi pelajar- pelajar sekolah tahfiz.

“Pelbagai langkah telah dibuat untuk memastikan para pelajar mendapat pendidikan yang sempurna, terkini dan sentiasa ke hadapan sesuai dengan agama Islam itu sendiri yang bersifat anjal dan sejagat.

“Saya berasa bangga kerana antara usaha-usaha itu adalah memastikan semua sekolah tahfiz ini mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) supaya perkembangan sekolah-sekolah ini akan dapat diurus dengan baik, seterusnya membolehkan pelbagai bantuan dapat disalurkan bagi kepentingan semua pihak.

“Proses ini akan dapat dipermudahkan lagi dengan adanya garis panduan yang telah pun dibukukan dan diterbitkan oleh JAIJ menerusi JTQA ini,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan pengurusan tahfiz sebanyak RM1 juta. – MalaysiaGazette