Puteri Aishah

KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Aishah berkongsi pengalaman menggeletar satu badan selepas ujian mengesahkan dirinya bebas wabak Covid-19.

Dia dikuarantin dan menjalani rawatan hampir dua minggu di Hospital Sungai Buloh sebelum ini.

Berkongsikan berita gembira itu menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram miliknya petang semalam, Puteri tidak mampu menyembunyikan perasaan syukur dan gembira ketika merakam video tersebut.

“Allahuakbar. Apabila jururawat bernama Kak Zue cakap keputusan negatif terus menggeletar satu badan. Rasa syukur dan gembira sangat. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Ya Allah bersyukurnya,” kongsi bekas guru pelatih itu.

Menurut pelakon drama Raisha, dia telah dibenarkan keluar hospital semalam dan berterima terima kasih kepada mereka yang mendoakan kesihatannya.

Wanita berusia 25 tahun itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang menjaga dan merawatnya sepanjang berada disana.

Puteri disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari penggambaran drama bersiri Demi di Scotland awal bulan ini.

Selain Puteri, pelakon drama sama, Ashraf Muslim dan pengarah, Rahila Ali turut disahkan positif virus tersebut. – MalaysiaGazette