KUALA LUMPUR- QSR Brands (M) Holdings Bhd. merancang untuk melancarkan Tawaran Awam Permulaan (IPO) menjelang November ini.

Menurut Johor Corporation Group (JCorp) yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam QSR, syarikat pengendali rangkaian KFC dan Pizza Hut menganggarkan nilai pasaran adalah RM6 bilion semasa penyenaraian.

Selain JCorp, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut memiliki 25 peratus kepentingan dalam QSR manakala baki 24 peratus lagi dimiliki oleh firma ekuiti swasta, CVC Capital Partners.

Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp., Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, kumpulan tersebut berhasrat untuk mengukuhkan perniagaan huluan dan hiliran QSR.

“Penyenaraian tersebut telah disebut-sebut sejak tahun lepas tetapi ia tidak dapat direalisasikan disebabkan pelbagai masalah.

“Apabila kami sudah bersedia, kami akan membuat pengumuman mengenainya,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Menurut Kamaruzzaman, JCorp merancang untuk meraih dana sebanyak RM2 bilion daripada penyenaraian tersebut.

Kumpulan restoran makanan segera yang mengendalikan rangkaian KFC dan Piza Hut itu pernah disenaraikan di Bursa Malaysia sebelum ini.

Pada 2012, JCorp bersama KWSP dan CVC menyahsenarai KFC Holdings (M) Bhd. dan syarikat induknya QSR Brands Bhd. dalam satu urusniaga bernilai RM5.2 bilion yang dimuktamadkan pada 2013.

Menurut Kamaruzzaman, QSR merekodkan perolehan sebanyak RM4.56 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017. – MalaysiaGazette