Lelaki berusia 29 tahun ditangkap awam selepas terlibat dalam jenayah ragut seorang wanita di hadapan gerai MPS di Sri Gombak pagi tadi.

GOMBAK – Seorang lelaki ditangkap orang awam hari ini kerana disyaki terlibat meragut beg seorang wanita di hadapan gerai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Jalan SG 3/11, Taman Sri Gombak, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.10 pagi tadi.

Katanya, suspek berusia 29 tahun didapati menunggang motosikal jenis Yamaha LC meragut beg (clutch bag) seorang wanita berusia 33 tahun.

“Suspek yang menunggang motosikal kemudian cuba melarikan diri sebelum terlanggar sebuah kenderaan di hadapan.

“Namun dia gagal meloloskan diri selepas orang awam yang berada di lokasi kejadian berjaya menangkap suspek dan menyerahkan kepada polis yang bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki 20 rekod jenayah dan tiga rekod dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas motosikal yang digunakan suspek mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Kajang.

Menurut Zainal Mohamed,  kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu merompak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun selain dikenakan denda atau sebat.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada jam 9.30 pagi esok (Jumaat) untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Atikah Adnan di talian 03-61262222/ 018-3648044. – MalaysiaGazette