Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh berkata, beliau sedang memikirkan jalan untuk menyerahkan notis surat tuntutan kepada bekas Penyelidik anak guamnya, Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa telah dicabul oleh Presiden PKR itu pada Oktober lalu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, surat tuntutan yang dihantar sebelum ini kepada Muhamed Yusoff telah dikembalikan semula ke pejabatnya disebabkan penerima tidak tinggal di alamat tersebut.

“Kes Yusoff Rawther, kami diarahkan mengeluarkan notis surat tuntutan terhadapnya dan saya melakukannya tapi kami tak dapat serahkan ke alamat dia iaitu di Pulau pinang seperti mana disertakan dalam akuan bersumpah.

“Jadi kami cuba menyerahkan tetapi surat itu kembali semula ke pejabat kami bahawa dia (Yusoff) tidak tinggal di alamat Pulau Pinang itu.

“Jadi kami sudah sediakan notis surat tuntutan baharu untuk diberikan kepadanya kelak,” katanya keitka ditanya pemberita semasa mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu untuk dirakam keterangan berhubung kehadirannya ke Perhimpunan memperingati Perjanjian Damai Hatyai ke-30 pada bulan lalu.

Ditanya kemajuan yang dicapai setakat ini, Ramkarpal berkata, beliau sedang mengusahakan pelbagai kaedah termasuk mendapatkan maklumat daripada myKad Muhammed Yusoff yang dirasakan boleh membantu mendapatkan alamat terkininya.

Ramkarpal ditanya sama ada beliau akan bertemu peguam Muhammed Yusoff, Muhammad Haniff Kathri Abdulla yang mengiringi untuk memberi keterangan berkata, beliau akan mendekatinya untuk menyerahkan surat tuntutan itu.

“Boleh juga, ya saya tahu dan difahamkan Haniff jadi peguam dia dan ada di sini, kalau betul dia ada sini, mungkin kami boleh berikan notis itu kepadanya mewakili Yusoff.

“Kami mungkin boleh buat begitu.. akan fikirkan opsyen itu,” katanya – MalaysiaGazette