Ahmad Zahid Hamidi.

AYER KEROH – Pogram Rawatan Akses Terbuka merupakan langkah yang baik untuk Orang Kena Pengawasan (OKP) mendapatkan rawatan secara sukarela, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi

Jelas Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, program rawatan yang diperkenalkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu membolehkan OKP tidak hanya dirujuk kepada hanya Klinik Cure & Care 1Malaysia, Cure & Care Service Centre dan Caring Community House sahaja.

“Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) di dalam laporannya menganggarkan ada sekitar 210 juta orang menggunakan dadah terlarang setiap tahun. Daripada jumlah itu, sejumlah 200,000 berada di ambang kematian.

“Statistik AADK menunjukkan 18,440 kes berulang dicatatkan pada tahun 2017 di negara ini. Namun, kerajaan tidak pernah berputus asa dan akan terus mencari penyelesaian menjamin pemulihan kekal dan berkesan,” katanya pada Program Jalinan Budi AADK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata undang-undang ketat tidak cukup untuk membasmi permasalahan dadah di negara ini, sebaliknya mahu memperkasakan tiga strategi iaitu rawatan, perubatan dan pemulihan, pencegahan serta penguatkuasaan undang-undang.

Sementara itu, Idris dalam sidang medianya, berkata Melaka satu-satunya negeri menyediakan portfolio khas bagi antidadah sebagai bukti komitmen kerajaan negeri membanterasnya.

“Langkah kerajaan negeri menubuhkan portfolio khas antidadah menerusi EXCO Kesihatan, Sukan dan Anti Dadah negeri, Datuk Wira Ab Rahaman Ab Karim, jelas suatu tindakan yang serius.

“Malah, setiap minggu mesyuarat diadakan, membabitkan kerajaan negeri, AADK dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membanteras dadah secara habis-habisan,” katanya.

Beliau turut memuji usaha membanteras dadah secara besar-besaran oleh AADK apabila jumlah penagih dadah menurun dengan ketara iaitu daripada 30,844 kes pada 2016 kepada 25,922 kes yang dicatatkan pada tahun lalu.-MalaysiaGazette