Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Sehingga kini polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkenaan himpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus yang akan diadakan Parlimen Selasa ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pemberitahuan sepatutnya dibuat oleh pihak penganjur yang ingin mengadakan himpunan, selaras Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Selain itu, perhimpunan tanpa pemberitahuan perhimpunan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang.

“Tindakan yang tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya lagi.

Terdahulu Bersih menerusi Facebook memaklumkan akan mengadakan Perhimpunan Tuntut Feformasi 100 Peratus dengan yang akan berarak ke Parlimen daripada Tugu Negara Selasa ini.

NGO itu berkata, himpunan itu diadakan bagi menggesa kerajaan menunaikan reformasi yang sebelum ini diperjuangkan.-MalaysiaGazette