Prana Resort Nandana terletak di Koh Samui, Thailand.

KUALA LUMPUR – Prana Resort Nandana milik syarikat Malaysia iaitu Kumpulan QI di Koh Samui, Thailand telah dinobatkan pemenang resort bagi anugerah alam sekitar menerusi Anugerah Green Hotel Standard (Emas).

Ia diiktiraf oleh Jabatan Promosi Kualiti Alam Sekitar Thailand.

Ini kerana selari dengan aspirasi mengekalkan kehijauan dan kehendak pelancong memilih  percutian yang mesra alam, Kumpulan QI telah mewujudkan beberapa inisiatif mementingkan eco sistem yang mengagumkan di dalam dan sekitar resort.

Pemilik resort itu, Datuk Seri Vijay Eswaran berkata, pihaknya sedar tentang impak terhadap planet dan mengambil setiap langkah dengan menggabungkan amalan yang meminimumkan jejak ekologi.

Malah jelas beliau, perniagaan pelancongan yang  berlainan lokasi di peringkat antarabangsa juga turut mengangkat konsep pelancongan yang mementingkan alam sekitar di mana Prana Resort Nandana adalah bukti komitmen tersebut.

“Apabila perjalanan dan pelancongan meningkat semula, kita mesti mengingati pengajaran daripada wabak yang pernah berlaku  dan tidak pernah memandang remeh berkaitan alam semulajadi.

“Pihak kerajaan, perniagaan dan pengguna mesti menyelaraskan amalan pelancongan mereka dengan matlamat pembangunan mampan dan menghadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 celcius melebihi paras pra industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Prana Resort Nandana milik syarikat Malaysia iaitu Kumpulan QI

Vijay menambah, beroperasi sebagai hartanah retret yang hijau dan lestari, Prana Resort Nandana berusaha memastikan tetamunya menikmati pengalaman mewah yang terbaik sambil mengurangkan jejak karbon.

Ujar beliau, sebagai langkah sokongan, resort itu menghapuskan penggunaan kertas dan bahan bercetak sebaliknya  mengamalkan daftar masuk digital dan akses kod QR (quick response) bagi tujuan pilihan menu, senarai kemudahan dan maklumat lain.

“Program hijau yang dilaksanakan juga  termasuk menggantikan semua barangan plastik  dengan bahan alternatif mudah  terbiodegradasi di samping mendapatkan bahan makanan segar tempatan melalui sokongan masyarakat tempatan.

“Selain itu, kakitangan hotel terlibat dalam pembersihan pantai setiap hari bagi mengurangi sampah dan mengelakkan plastik bergulung di lautan.

“Mereka juga mengambil bahagian dalam inisiatif sukarela sepanjang tahun untuk menyokong komuniti tempatan  meningkatkan kesedaran tentang kesan pencemaran yang berbahaya,” katanya.

Kumpulan QI telah mewujudkan beberapa inisiatif mementingkan eco sistem yang mengagumkan di dalam dan sekitar resort.

Sementara itu, Prana Resort Nandana hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Koh Samui.

Menariknya, resort bertaraf hotel butik ini mempunyai reka bentuk unik kerana terbahagi kepada dua bahagian yang dikenali sebagai sayap di tepi pantai yang menyajikan pemandangan laut membiru dan sayap sebelah lagi terletak di seberang jalan.

Terletak di sepanjang pantai Bangrak yang lebih tenang dan berada di tengah-tengah antara Big Buddha dan perkampungan nelayan yang terkenal, seni bina resort ini menggabungkan pertukangan tradisional Thai terbancuh dengan  penggayaan moden yang unik.

Rekaan menampilkan pencahayaan minimalis yang tembus ke dalam bangunan, kedudukan  syiling tinggi dan hiasan dalaman berinspirasikan anyaman bakul yang beralun, semuanya ditenun menggunakan bahan asli.

Resort dengan 72 bilik ini dikelilingi oleh taman-taman yang rimbun dengan flora tropika di samping dijjajari gabungan  pepohon  buluh dan rotan  secara organik ke dalam persekitaran semula jadi. Jelas mencerminkan pengaruh budaya tempatan. – MalaysiaGazette