Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meninjau keadaan sungai selepas hadir ke pelancaran Figurin Ejen Ali- Ikon 'River of Life' 2021 di Jambatan Lebuh Pasar Besar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan sedang melakukan kajian mendalam untuk meneruskan pembangunan River of Life versi 2.0 bagi memastikan sungai sentiasa bersih dan kekal terpelihara keindahannya setanding dengan negara-negara maju.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, kajian itu mencakupi pembersihan dan pengindahan sungai sehingga sempadan negeri Selangor.

Katanya, perbincangan mendalam sedang dilaksanakan dengan pelbagai pihak di luar petak termasuk swasta tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada peruntukan atau dana kerajaan Pusat semata-mata bagi ROL 2.0 tersebut.

“Kita sedang berada di kemuncak ROL 1.0, yang mana kita akan membina River City di bahagian utara ROL 1.0 menggunakan teknologi sungai kualiti airnya kurang baik berada di bawah dan sungai kualiti air rekreasi ada di atas dalam konsep ‘double decking’.

“Masalah sungai ada kaitan dengan masalah banjir dan kita bukan sahaja terpaksa menguruskannya dari segi fizikal dan pengindahan sahaja tetapi ia mesti berfungsi dengan baik mengawal banjir di Kuala Lumpur.

“Sebab itu projek pembangunan ROL 2.0 akan kita teliti dan selanjutnya kita akan menggabungkan konsep fizikal dengan kaedah elak banjir besar melanda ibu negara,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai langkah kerajaan untuk meningkatkan kualiti sungai setanding dengan negara maju.

Beliau berkata demikian selepas hadir melancarkan program memperkenalkan Figurin Agen Ali sebagai Ikon ROL berhampiran Masjid Jamek pagi tadi dengan harapan program keluarga Agen Ali yang menjadi ikutan jutaan orang menjadi pendidik menyampaikan mesej menghargai kebersihan sungai di negara ini dalam kalangan masyarakat.

Annuar mengakui berkemungkinan kawasan Masjid Jamek terdedah risiko banjir besar sekiranya usaha diambil melencongkan aliran sungai daier Masjid Jamek dengan pembinaan tebatan sama ada secara terbuka atau di dasar bangunan.

Tambah beliau, semua kaedah berkenaan sedang diteliti dan akan dilaksanakan secara berperingkat sambil memberitahu bahawa ia bukan projek jangka pendek dan masih bertanggungjawab menyelenggara dan memelihara kebersihannya.

Menurutnya, tiada gunanya membina dan mengindahkan sungai jika rakyat masih membuang sampah dalam sungai yang dibersih dan diindahkan dengan dana yang besar.

Ujar beliau, dari sudut undang-undang kementeriannya akan melihat bagaimana dapat memperketatkan penguatkuasaan undang-undang kerana selagi rakyat tidak menghargai dan memelihara kebersihan sungai segala usaha pengindahan hanya menjadi sia-sia sahaja nanti.

Ditanya mengenai bila ROL 2.0 akan dilaksanakan, katanya, buat masa sekarang beberapa syrikat termasuk swasta telah dipanggil membuat pembentangan kertas kerja dan Jabatan Perancangan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang membuat kajian dan keluasan tanah-tanah rizab kerajaan di sepanjang sungai dari Brickfields sampai ke sempadan Selangor.

“Kita akan tengok beberapa cadangan serta kaedah yang disyorkan termasuk pihak swasta, kita sudah ada pengalaman pelaksanaan ROL 1 lagipun kajian itu tidak akan mengambil masa yang panjang.

“Kajian asas sudah ada dengan kita, cuma ujian tambahan iaitu kajian kaedah mana yang hendak dilaksanakan sebab ada yang kata oleh kerana sepanjang sungai ada tanah simpanan nilainya boleh dinaikkan setelah sungai itu diperindahkan sepatutnya sudah cukup menampung kos pelaksanaan ROL 2.0

“Ada juga cadangkan bahawa biar sektor swasta masuk dan melaksanakan ROL 2.0 dan apa jua tanah yang ada nanti menjadi milik mereka dan itu antara yang sedang diteliti termasuk swapping tanah.

“Semua kemungkinan akan dikaji tanpa bergantung sepenuhnya dana Kerajaan Pusat dan kita perlu berkreativiti, fikir di luar kotak apa yang penting untuk kita menjamin kebersihan sungai,” ujarnya.

Annuar juga menjelaskan kedudukan KL di kawasan lembah atau dikelilingi tanah tinggi mempunyai jaringan sungai yang banyak dan besar, selain Sungai Gombak dan Klang yang mendorong kepada pelaksanaan ROL 1.0 secara berperingkat dengan dana besar RM4 bilion. – MalaysiaGazette