Antara aksi peserta mengawal kapal layar semasa memulakan perlumbaan pada hari pertama Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 18 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI, 07 JANUARI 2020

LANGKAWI – Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Belt & Road membuka tirai di perairan di sini hari ini dalam keadaan cuaca panas terik yang menyaksikan 29 bot dari pelbagai negara bertarung merebut gelaran juara.

Dianjurkan Royal Langkawi Yacht Club (RLYC), kejuaraan kali ini dilihat lebih meriah dengan gabungan jurumudi perpengalaman dan juga muka baharu dari Malaysia iaitu pasukan MY Gadis.

Seramai 300 peserta berentap dalam tujuh kelas dipertandingkan, antaranya kelas utama Racing yang memburu trofi Cabaran Perdana Menteri, IRC 1, IRC 2, Sportsboat, Club Cruising, Multihull, Ocean Rover dan White Sail.

Piala untuk kelas utama perlumbaan bakal disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Patron RLYC pada malam kemuncak kejuaraan, 11 Januari ini.

Pengarah Eksekutif RLYC, Datuk Azlan Abdullah berkata, kejuaraan itu sekali lagi menyediakan cabaran buat komuniti pelayaran terutamanya kepada peserta yang mengambil bahagian.

Ini kerana ramalan cuaca akan menyaksikan tiupan angin kencang dan lautan bergelora yang menjadi kelebihan untuk berlumba.

Tahun lalu, Team Hollywood dari Australia dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas Racing pada RLIR ke-17.

Untuk rekod, ia adalah kemenangan ketujuh buat jurumudinya, Ray Robert sejak 2006 dengan pasukan Evolution Racing, Quantum Racing, dan Ulumulu Quantum Racing. – MalaysiaGazette