Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Setakat 14 Ogos lalu, jumlah permohonan Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan diluluskan oleh bank-bank tempatan adalah RM10.1 bilion, peningkatan daripada RM9.86 bilion pada minggu lalu.

Pinjaman ini akan memberi manfaat kepada 22,143 PKS, lebih tinggi berbanding 21,759 PKS pada minggu lalu.

Jumlah ini termasuk Dana Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Automasi dan Digitalisasi, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dan Kemudahan Agromakanan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Kemudahan Bantuan Khas telah menerima permintaan yang sangat memberangsangkan dan telah dimanfaatkan sepenuhnya.

Lebih 21,000 PKS di seluruh Malaysia telah menerima kemudahan ini dan telah membantu dalam mengekalkan lebih 400,000 pekerjaan.

“Dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi, PKS juga boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti Kemudahan Automasi dan Digitalisasi, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dan Kemudahan Agromakanan.

”PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS,” katanya dalam Laporan Laksana, Pakej Rangsangan Ekonomi (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Untuk Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) pula, setakat 14 Ogos lalu, sebanyak 5,838 permohonan diluluskan (peningkatan daripada 3,459) berjumlah RM40.73 juta (peningkatan daripada RM24.9 juta).

Daripada jumlah ini, sebanyak RM22.05 juta telah disalurkan dan memanfaatkan oleh 3,053 PKS Mikro.

Tengku Zafrul menambah, untuk pembiayaan PKS PENJANA yang diperuntukkan berjumlah RM2 bilion kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank pula, sebanyak 803 permohanan telah diluluskan pinjaman dengan nilai pinjaman sebanyak RM234.7 juta.

Dalam pada itu, sehingga 14 Ogos 2020, sebanyak 71,000 Perusahaan Mikro dan PKS (PMPKS) telah menerima manfaat dari inisiatif peralihan kepada digitalisasi perniagaan melalui program yang dibiayai kerajaan dan 20 platform e-dagang.

Platform e-dagang yang terlibat akan menyediakan kemudahan latihan onboarding e-dagang, subsidi jualan, dan khidmat sokongan jualan. – MalaysiaGazette