Tian Soon hadir di Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baru Cina Tahun 2024 di Tokong Fo Guang Shan, Taman Sutera Utama hari ini.

JOHOR BAHRU – Kira-kira RM14 juta diperlukan untuk menaik taraf klinik-klinik kerajaan di Johor yang dalam keadaan daif dan uzur.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, kerajaan negeri telah pun mendapat maklumat mengenai klinik desa dan klinik kesihatan (KK) terbabit yang perlu baik pulih.

“Sebanyak 29 klilnik kita telah naik taraf pada tahun lalu dengan kos hampir RM13 juta dan tahun ini kita akan fokus 30 klinik yang daif, ada yang sudah beroperasi sejak tahun 1960-an atau 1970-an lagi dan sehingga hari ini masih beroperasi, bayangkan dah lebih 40, 50 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baru Cina Tahun 2024 di Tokong Fo Guang Shan, Taman Sutera Utama hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri akan mengutamakan keperluan bangunan klinik dan selebihnya jika ada  keperluan akan menaik taraf kuaters kakitangan pula

Ditanya mengenai hantaran tular di TikTok yang mendakwa Klinik Desa Bakar Batu kelihatan seperti ‘berhantu’, Tian Soon berkata, struktur bangunan yang dirakam dalam media sosial itu merupakan struktur bangunan kuarters yang uzur dan telah lama dikosongkan sejak 2011.

Beliau menjelaskan, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru telah mengemukakan permohonan kelulusan syor roboh dan bina baru kuarters klinik tersebut kepada KKM dan perakuan pelupusan bangunan telah dilluluskan pada tahun lepas. – MalqysiaGazette