Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan derma yang diterimanya daripada orang kenamaan Arab Saudi bukan untuk membeli undi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sebaliknya beliau berkata, RM2.6 bilion itu untuk kegunaan keperluan parti  termasuklah pemasangan papan iklan.

“Sumber derma akan memenuhi keperluan parti (UMNO) yang mana bukan termasuk membeli undi (yang dinafikan Najib sebelum ini) tetapi untuk aktiviti seperti acara dan papan iklan.

“Ia adalah keperluan apabila BN adalah sebuah parti yang terlibat (bertanding) di 222 kerusi Parlimen di seluruh negara (menjelang PRU-13), ” tambahnya ketika pemeriksaan balas peguambelanya Harvinderjit Singh.

Najib turut memberitahu mahkamah, beliau tidak selesa menerima sumbangan daripada ahli korporat untuk kegunaan pilihan raya kerana enggan terhutang budi.

“Sebagai Presiden UMNO (ketika itu), saya mahu sumber pendapatan yang membuatkan saya bebas daripada penderma lain, bermakna saya tidak terhutang budi dengan sesiapa pun. Saya lebih selesa jika saya tidak mengambil sumbangan korporat.

“Saya tidak mahu rasa terhutang budi kepada sesiapa,” tambahnya sambil sekali lagi menegaskan menerima sumbangan politik adalah perkara biasa yang diamalkan oleh pemimpin sebelum ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang ahli perniagaan kontroversi, bekas perdana menteri itu menyifatkan Jho Low mempunyai hubungan istimewa dengan Arab Saudi.

Oleh sebab itu beliau berhubungan dengan Jho Low.

Najib selain itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jho Low pernah membantunya memudahkan proses membawa balik pelajar warganegara Malaysia yang terperangkap di Mesir ketika Arab Spring.

“Seperti yang kamu tahu, sebab utama mengapa kami mempunyai hubungan dengan Jho Low kerana ia terbukti dia mempunyai hubungan istimewa dengan Arab Saudi dan beberapa keluarga diraja yang lain di Timur Tengah.

 “Atas dasar itu, beliau membantu bukan sahaja sebagai saluran untuk Arab Saudi, tetapi juga membantu dalam sebahagian daripada hubungan dua hala dengan Arab Saudi.

“Sebagai contoh, ketika berlaku Arab Spring, dan pelajar-pelajar kita terperangkap di Mesir dan mahu pulang ke tanah air, saya meminta beliau membantu, untuk mendapatkan pelepasan dari Saudi untuk membolehkan terbang ke ruang udara mereka, agar pesawat kita mendarat di Jeddah tanpa visa, ” katanya ketika perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang memasuki hari ke-75. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. hubungan Malaysia arab saudi x memerlukan jho low jalinan sangat irat dari zaman duta besar Malaysia Datuk mukhtar dan kehibatan TH yg setiap th di puji oleh setiap raja arab saudi selepas post morten rokon Haji.

Comments are closed.