Dr Mohd Zahari Ismail

MELAKA – Kerajaan akan menyalurkan hampir RM2 bilion kepada 36 politeknik dan 105 kolej komuniti (POLYCC) di seluruh negara tahun depan bagi memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan POLYCC, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, melalui peruntukan daripada Belanjawan 2024 sebanyak RM2 hingga RM5 juta akan disalurkan di bawah bidang penyelidikan dan inovasi.

“Ini amat baik kerana sebelum ini di bidang penyelidikan dan inovasi TVET, kami tak pernah dapat peruntukan sedemikian yang merupakan kali pertama diperoleh.

“Malah insya-Allah tahun depan POLYCC akan diberi keutamaaan untuk menyelenggarakan institusi ini dan ini adalah satu pencapaian baik di bawah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Akademia Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu mengumumkan peruntukan keseluruhan RM6.8 bilion bagi memperkasakan bidang TVET di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zahari berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama penuh daripada pihak industri dalam menyokong usaha kerajaan memperkasakan bidang TVET di negara ini.

“Sokongan sama ada dalam bentuk idea dan wang ringgit daripada pemain indusrti ini amat besar maknanya sehingga kita boleh menganjurkan majlis penganugerahan ini.

“Ini menyumbang kepada perkembangan positif pensyarah kita yang menepati keperluan dan standard ditetapkan kementerian termasuklah untuk meningkatkan kepakaran mereka di masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette