Gambar hiasan

KUANTAN – Hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan Kampung Baru Perwira Jaya, Rompin dekat sini dilanda banjir kilat malam tadi.

Ekoran bencana alam itu, tujuh orang daripada dua keluarga dari kawasan berkenaan dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Bandar Perwira Jaya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya telah membuat persiapan awal banjir di PPS dan bersedia menghadapi bencana itu pada bila-bila masa.

“Kami membuat persiapan awal menangani awal banjir supaya keadaan sentiasa terkawal dan efisien. Jadi selagi belum habis monsun Timur Laut (MTL) kami sentiasa bersedia,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, berdasarkan maklumat laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras dua sungai di Rompin melepasi paras amaran pukul 7.45 pagi ini.

Sungai berkenaan ialah Sungai Pukin dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong.

Manakala tujuh sungai pula merekodkan paras waspada berikutan hujan lebat berterusan di beberapa daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran dan Temerloh. – MalaysiaGazette