Saifuddin Nasution dan Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan menerajui Kementerian Dalam Negeri berkata beliau akan mendapatkan tips atau panduan daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melaksanakan tugasnya.

Saifuddin Nasution berkata beliau menghormati Hamzah selaku bekas Menteri Dalam Negeri selain mempunyai hubungan baik dengannya sejak puluhan tahun yang lepas.

Katanya, ketika dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 2018, beliau juga banyak belajar daripada Hamzah yang menerajui kementerian itu pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya juga banyak belajar daripada beliau dari segi memahami tugas-tugas hakiki kementerian itu dan memahami cabaran-cabarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata walaupun gaya kepimpinannya dengan Hamzah berbeza, prinsip dan asas pentabirannya tetap sama.

“Tapi prinsip dan asas permasalahannya harus diteliti mengikut sudut pandang masing-masing, sudah tentu saya ada keutamaan saya, tetapi saya akan segera hubungi Hamzah untuk mendapatkan beberapa tips dari sudut memahami peranan dan fungsi kementerian,” katanya.

Ditanya mengenai keutamaan dalam memegang portfolio kementerian itu, Saifuddin Nasution berkata beliau akan melihat seluruh aspek berkaitan setiap agensi di bawah kementerian itu.

“Antaranya kita akan melihat aspek misalnya Jabatan Penjara Malaysia mengenai isu kesesakan (banduan) serta perjawatan kepada pegawai (semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri).

“Pasukan RELA pula, aspek keberadaan, kesiapsiagaan itu (sudah) bagus, tetapi logistik, sokongan dan suasana tempat kerja itu perlu penambahbaikan,” katanya.- BERNAMA