Sami Buddha, Datuk K.Sri Dhammaratana

KUALA LUMPUR – “Saya berdiri di sini bukan sahaja sebagai wakil agama Buddha tetapi sebagai manusia biasa yang cintakan keamanan dunia demi solidariti dan keadilan untuk keluarga kita yang ditekan dan dibunuh di Palestin”.

Itu mesej jelas Sami Buddha, Datuk K.Sri Dhammaratana di hadapan lebih 15,000 orang dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil di sini malam ini.

Beliau mengakui jiwanya meruntun selepas melihat situasi yang dihadapi rakyat di Palestin yang dibunuh dengan serangan rejim Zionis Israel di Gaza.

“Mereka juga manusia biasa yang berhak mendapatkan kasih sayang keadilan dan kebebasan hidup. Kita mesti cuba membawa keamanan bersama dan membuat yang baik demi kebahagiaan sahabat kita di Palestin,” katanya.

Tambah Dhammaratana, di Malaysia pelbagai kaum dan agama hidup harmoni sebagai satu keluarga tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, rakyat Malaysia berbilang bangsa perlu bangkit menentang kejahilan yang berlaku di dunia ini khususnya kepada rakyat Palestin yang dizalimi Israel.

“Kebangkitan kita sebagai satu keluarga Malaysia memberi mesej jelas kepada dunia bahawa kita boleh hidup harmoni dan boleh dicontohi oleh negara lain di dunia ini.

“Malangnya di Palestin saudara-saudara kita merana di sana akibat serangan Israel.

“Kalau tak boleh bantu secara kebendaan kita boleh sokong mereka dengan beri sokongan moral bahawa kita teguh bersama mereka di sini,”  tegasnya lagi.- MalaysiaGazette