Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) memasuki operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja, Cameron Highlands yang melibatkan lima warga Myanmar. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 JANUARI 2024.

CAMERON HIGHLANDS – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan sehingga jam 10 malam ini bergantung pada keadaan cuaca bagi mencari baki tiga mangsa yang masih tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di Kampung Batu 59, Blue Valley di Cameron Highlands, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli berkata, siasatan awal mendapati tiga daripada mangsa terlibat dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri dan bapa kepada suami serta dua yang lain dipercayai rakan mereka.

Menurutnya, kesemua mangsa adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang ditemui di kawasan runtuhan tersebut.

“Setakat ini, kita telah menemui dua mangsa daripada lima yang tertimbus dalam runtuhan itu. Mayat pertama yang ditemui dipercayai anak lelaki kepada salah seorang mangsa. Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan baik.

Operasi SAR diteruskan, cari baki 3 mangsa tertimbus dalam runtuhan tanah
Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) memasuki operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja, Cameron Highlands yang melibatkan lima warga Myanmar. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 JANUARI 2024.

“Operasi ini turut disertai Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kerana mereka mempunyai peralatan pencahayaan yang baik serta dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9),”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, pada petang Jumaat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 84 anggota penyelamat ditempatkan di lokasi kejadian dibantu 30 pekerja kebun.

Katanya, kerja-kerja SAR yang dijalankan menggunakan kaedah manual memandangkan jentera berat tidak boleh dibawa masuk ke lokasi terbabit.

Operasi SAR diteruskan, cari baki 3 mangsa tertimbus dalam runtuhan tanah
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani pada sidang media operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja, Cameron Highlands yang melibatkan lima warga Myanmar. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 JANUARI 2024.

“Kerja mencari menggunakan kaedah manual kerana jentera berat masih negatif untuk dibawa masuk. Kita menggunakan cangkul, penyodok dan peralatan lain bagi kerja mengorek tanah.

“Keadaan tanah gelongsor bersama pokok menyebabkan kesukaran untuk mengenal pasti kedudukan mangsa.

“Bagaimanapu, pasukan K9 kita ada mengesan beberapa lokasi (dipercayai ada mangsa) dan kerja-kerja mengorek kawasan terbabit sedang dijalankan.

“Kita masih memberi tumpuan kepada sektor B dan C di mana lokasi kedua-dua mangsa dijumpai iaitu bermula dari kedudukan rumah asal dan ke bawah dengan kedalaman mangsa dijumpai lebih kurang lima kaki (1.52 meter),” jelasnya.

Operasi SAR diteruskan, cari baki 3 mangsa tertimbus dalam runtuhan tanah
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bersiap sedia sebelum memasuki operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja, Cameron Highlands yang melibatkan lima warga Myanmar. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 JANUARI 2024.

Kesemua mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja, Cameron Highlands disahkan warga Myanmar dikenali sebagai Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25 tahun.

Mangsa pertama ditemukan pada jam 5.40 pagi tadi dan dikenal pasti sebagai Haphey manakala mangsa kedua ditemui sekitar jam 12.40 tengah hari tadi. – MalaysiaGazette

Tanah runtuh Cameron Highlands: Seorang maut, 4 lagi tertimbus