Musa Awang
Musa Awang

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengucapkan tahniah kepada Mahkamah Syariah Terengganu yang berjaya melaksanakan proses sebatan syariah terhadap dua pelaku musahaqah (lesbian) hari ini dalam keadaan baik dan tenang tanpa tunduk kepada desakan mana-mana pihak.

Presidennya, Musa Awang berkata, hukuman sebatan syariah yang dijalankan itu dalam keadaan berpakaian menutup aurat dan dengan pemeriksaan pasukan perubatan terlebih dahulu, ringan dan tidak melukakan.

Ia telah membuktikan kepada masyarakat yang mempertikaikan hukuman berkenaan yang Islam dan syariah menyantuni setiap insan walaupun mereka melakukan kesalahan.

Katanya, hukuman sebat syariah masih melindungi maruah pesalah maka sebab itu pesalah dibenarkan memakai pakaian dan menutup keseluruhan aurat, baik lelaki atau wanita.

“Berbeza dengan sebatan sivil dan barat, pesalah akan ditelanjangkan, hanya bahagian kemaluan sahaja ditutup dengan kain atau cawat, dan bahagian punggung pesalah akan diikat pada abah-abah dengan tali pinggang.

“Ini membuktikan sebatan syariah tidak kejam dan zalim sebagaimana didakwa sesetengah pihak. Ia juga membuktikan sebatan syariah ternyata sama sekali berbeza dengan hukuman sebat di mahkamah sivil,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas hukuman sebatan di khalayak umum yang dikenakan terhadap pasangan kekasih songsang berusia 22 dan 32 tahun di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu dengan disaksikan kira-kira 100 orang.

Kedua-dua pesalah itu menjalani hukuman sebatan sebanyak enam kali setiap seorang di hadapan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun dan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail kira-kira jam 10.10 pagi.

Hukuman sebatan di khalayak umum yang dilaksanakan hari ini adalah yang pertama kali dilakukan di Terengganu, selepas Pas mengambil alih negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Menurut Musa, syarat pelaksanaan hukuman sebatan syariah sebenarnya telah ditakninkan dalam peruntukan Seksyen 125 dan 126, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Terengganu) 2001, dan juga dalam undang-undang tatacara jenayah Syariah negeri lain.

Ujarnya, kehadiran orang awam ketika pelaksanaan hukuman itu bukan bertujuan menjatuhkan kehormatan atau memalukan pesalah, tetapi memberi mesej kepada orang lain mengenai kesalahan dan akibatnya, menimbulkan kegerunan dan pencegahan kepada orang yang menyaksikan dan orang mendengar cerita itu, menjadi bualan serta bahan cerita kepada generasi akan datang.

“Dan orang yang menyaksikannya mendoa rahmat kepada pesalah agar dia dapat bertaubat dan kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna.

“Kehadiran orang awam yang menyaksikan bukan diukur pada sedikit atau ramai, tetapi sejumlah orang yang boleh menghebah dan menimbulkan pencegahan dan ia berbeza mengikut keadaan tempat dan peribadi seseorang,” katanya. – MalaysiaGazette