Nazrin Norani
Pengerusi SEDAR Malaysia, Nazrin Norani.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Sahabat Erat Dan Amanat Rakyat Malaysia atau SEDAR Malaysia menggesa pelbagai pihak agar membuat laporan polis terhadap penganjur dan panelis Forum Awam & Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang diadakan hari ini.

Presiden SEDAR, Nazrin Norani mendakwa forum berkenaan telah menyimpang jauh daripada topik perbincangan apabila secara terbuka menghina Raja-raja Melayu.

“Yang paling kami tidak boleh tahan ialah mereka yang menggelarkan diri ahli akademik bertepuk tangan setiap kali Raja-Raja Melayu dihina.

“Mereka ini dipanggil intelektual dan cakap Inggeris berhabuk, tetapi secara terbuka  sorak bergembira bila raja-raja Melayu dihina,” katanya selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Pantai, Jalan Pantai Baharu petang tadi.

SEDAR turut mengkritik pihak penganjur yang gagal mengawal keadaan dengan tidak mengambil apa-apa tindakan bagi memastikan perkara seperti itu tidak berlaku.

“Sebenarnya laporan ini, kita buat kepada pengajur, panelis kerana penganjur tidak berbuat apa-apa langsung sepanjang hari untuk menghalang daripada menghina dan membuat tuduhan berterusan,” katanya lagi.

Forum tersebut mencetuskan kontroversi apabila ucapan ahli politik veteran, Syed Husin Ali. mendakwa golongan Raja-Raja Melayu telah merompak wang rakyat.

Ucapan bekas Timbalan Presiden PKR itu mendapat tepukan dan sorakan hadirin yang seolah-olah bersetuju.

Forum itu membariskan Peguam Negara Tommy Thomas; bekas Duta Malaysia ke Belanda yang juga anggota G25, Datuk Noor Farida Ariffin; pakar perlembagaan Profesor Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi dan peguam Lim Wei Jiet.

Program dianjurkan aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Forum Statue Rom panas, hina Raja-Raja Melayu?