Rina Mohd Harun

KUALA LUMPUR – Sedangkan lidah lagi tergigit.

Itu kata Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berhubung kemelut politik yang melanda parti itu hari ini.

Rina berharap agar segala kemelut itu dapat diselesaikan cara keluarga.

“Kita ini satu keluarga, janganlah buat macam itu, saya sedih. Kita satu keluarga.

“Biasalah kadang-kadang lidah tergigit, carik-carik bulu ayam, kita akan selesaikan masalah dalaman ini dengan baik,” katanya ketika ditemui wartawan selepas menziarahi rumah peribadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu turut berkata, parti seharusnya memberikan ruang kepada bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk tempoh bertenang.

“Kita bagi peluang untuk tempoh bertenang, kami ini pun semuanya ada juga banyak pengalaman dan ilmu yang diturunkan, kita masih lagi menghormati dia. Tidak ada isu.

“Saya minta pada semua, kita dalam Bersatu ini satu keluarga. Kadang-kadang tergigit lidah, kan,” katanya lagi.

Terbaharu, Mahathir berkata, beliau menjangka akan dipecat daripada PPBM, parti yang diasaskannya pada 2016, kerana majoriti ahlinya menolak beliau sebagai pengerusi.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika ditanya tentang masa depan PPBM berikutan perbezaan pendapatnya dengan presiden parti itu Muhyiddin Yassin yang akan dilantik sebagai perdana menteri ke-8 hari ini.

“Parti akan buat keputusan, sama ada akan memecat saya sebagai pengerusi, ia akan berlaku kerana majoriti ahli tolak saya sebagai pengerusi.

“Secara rasmi mereka boleh pecat,” katanya kepada media di bangunan Yayasan Al-Bukhary, hari ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lagi apa mau cakap atok.. Sendiri letak jawatan.. Orang ingat atok sudah tak mau pegang itu jawatan.. Orang pun tak ingat atok lagi mau.. Ini macam orang pun pening..

Comments are closed.