Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan, atas pertuduhan menyeludup 10 migran pada bulan lalu.

TELUK INTAN – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas pertuduhan menjadi ‘transporter’ atau pengangkut kepada 10 migran yang diseludup, bulan lalu.

Tertuduh, Kamarulzaman Abd Wahab, 60, dan Supiani, 54, menggangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana ia bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Menurut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama sebagai operator sebuah kenderaan jenis Nissan Serena telah didapati mengangkut 10 orang migran warganegara Indonesia di Jalan Batu 12, Jalan Bagan Datoh, dekat Hutan Melintang, pada jam 5.30 pagi, 29 November lalu.

Mereka yang diseludup adalah Agus Wiyono; Gunawan; Yode @ Wahyudi Ahmad; Salim; Indra Abdi; M.Sabri @ Muhamad Sabar; Ahmad Lukman, Gimin; Lutfi dan Suparman.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai makanan itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes serta bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 12 Disember lalu, 10 migran warga Indonesia yang diangkut pasangan suami isteri itu telah dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara haram di Mahkamah Majistret Teluk Intan.

Kesemua mereka telah dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkapan serta satu kali sebatan setiap seorang. – MalaysiaGazette