Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus (empat kanan), Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya (dua kiri), Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tiga kiri) menyempurnakan gimik perasmian hadir pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2019 di Shangri La Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Pelancaran Rangkaian Perisikan Kewangan Malaysia (MyFINet) adalah tepat pada masanya, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tambahan pula katanya, MyFINet adalah inisiatif Kerjasama Awam-Swasta (PPP) antara Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dan institusi-institusi kewangan.

Tambahnya, setiap orang perlu memainkan peranan mereka untuk menentang jenayah kewangan bagi memastikan usaha Malaysia untuk berubah kepada negara maju yang dipacu nilai tercapai.

“Kemakmuran bersama hanya boleh dicapai melalui perkongsian tanggungjawab.

“Dengan itu, institusi-institusi swasta dan rakyat mempunyai peranan penting di dalam mempertahankan integriti dalam sistem kewangan Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan ke-11 di sini hari ini.

Beliau turut melancarkan MyFINet di majlis yang turut dihadiri oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunos.

MyFINet menyediakan platform perkongsian maklumat risikan dan isu-isu semasa di antara agensi penguatkuasaan dan institusi-institusi kewangan dalam menguruskan ancaman besar kepada negara.

Menurut Perdana Menteri, inisiatif tersebut membolehkan transaksi mencurigakan dapat dikesan lebih awal oleh institusi kewangan serta institusi lain yang berkaitan dan seterusnya akan membantu menghapuskan jenayah kewangan.

Katanya, komponen penting dalam model-model PPP itu adalah perlindungan data peribadi dan kerahsiaan dengan menjadikan Peraturan Perlindungan Data Peribadi Umum Kesatuan Eropah (GDPR) sebagai penanda aras.

“Bagi PPP Malaysia, agensi penguatkuasa dan institusi kewangan boleh meneruskan perlindungan data peribadi melalui rangka kerja yang sah untuk membasmi jenayah kewangan.

“Saya percaya usaha mulia ini perlu diperkukuhkan dan diperluas bagi membolehkan lebih banyak pihak terutamanya orang awam untuk menunaikan tanggung jawab mereka menentang rasuah dan jenayah kewangan.

“Selain itu, penambahbaikan berterusan perlu dilakukan secara holistik,” tambahnya.

Menurut Mahathir, pentadbiran terdahulu telah mengabaikan nilai-nilai tinggi dan integriti menyebabkan mereka ditolak rakyat yang sudah tidak sanggup lagi hidup dengan kerajaan yang menyalahgunakan kuasa dan melakukan rasuah.

Katanya, ketika itu, jenayah kewangan dilakukan secara berleluasa tanpa menghiraukan peraturan dan undang-undang.

“Perkara ini hanya boleh berlaku kerana kuasa tertinggi yang diberi kepercayaan untuk mempertahankan undang-undang adalah pihak yang melakukan (jenayah kewangan dan rasuah),” katanya lagi.- MalaysiaGazette