Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang dijadual bulan ini ditunda ke Januari.

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai senarai 10 pemimpin UMNO yang dikatakan tersingkir daripada senarai calon Parlimen bagi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hampir terjawab.

Meskipun kebanyakan calon BN yang telah disenarai pendek sudah dipanggil untuk menandatangani surat akujanji beberapa hari lalu namun ia bukan satu jaminan.

Keputusan muktamad calon BN hanya akan diketahui selewat-lewatnya sehari sebelum hari penamaan calon iaitu 5 November ini.

Meskipun BN akan mengumumkan 174 calon untuk bertanding di peringkat Parlimen malam ini namun sebarang perubahan boleh berlaku pada saat akhir.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, senarai 10 pimpinan UMNO yang tular di media sosial sejak malam itu adalah separuh benar kerana hanya empat orang sahaja dipercayai digugurkan dalam pilihan raya kali ini.

Antara nama yang tersingkir itu ialah Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn sejak 11 pagi tadi mendapati hanya beberapa pimpinan parti sahaja kelihatan di ibu pejabat BN.

Selain Noh yang juga Pengerusi BN Selangor turut hadir adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Penyebaran senarai 10 pimpinan UMNO yang tersingkir itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi Noh yang kelihatan kurang ceria seperti kebiasaan.

Noh yang tiba di Menara Dato Onn kira-kira pukul 3.57 petang tadi bagaimanapun bertindak mengunci mulut dan enggan memberi sebarang maklum balas mengenai perkara tersebut. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Berilah ruang pada orang muda.. Dahlama jadi ahli parlimen. Jangan tamak. Rezeki akan datang mungkin lebih baik sedang menunggu.

Comments are closed.