Razali Rafie melakukan kerja-kerja membuat arca bonsaii di kediamannya di Sungai Buloh. Foto: MOHD NAIM AZIZ.

KUALA LUMPUR – Pergerakan terhad sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah tentu membuatkan seseorang individu mempunyai masa terluang yang boleh dimanfaatkan untuk melakukan pelbagai aktiviti.

Ini yang dibuktikan oleh seorang pesara kejuruteraan elektrik, Razali Rafie, 64, apabila berjaya menghasilkan lima jenis arca pokok seni bonsai bagi ‘merawat’ kebosanan akibat PKP di kediamannya di Desa Coalfields, Sungai Buloh, Selangor.

Razali Rafie melakukan kerja-kerja menyiapkan pasu arca bonsai sebelum dikeringkan di kediamannya di Sungai Buloh, Selangor. Foto: MOHD NAIM AZIZ.

“Saya memang meminati seni penghasilan arca bonsai ini sejak zaman saya masih bekerja lagi. Lima tahun sebelum pencen, saya telah mula berjinak-jinak menghasilkan arca pokok bonsai ini dengan kepelbagaian reka bentuk dan saiz menarik.

“Cuma dalam tempoh PKP ini terlalu banyak masa terluang dan saya gunakan sebaik mungkin” jelasnya.

Arca pokok bonsai terhasil dengan pengunaan kain perca, sabut kelapa dan polistiren itu adalah satu hasil seni tangan dalam kategori seni ukir umumnya.

 

Sebahagian pokok arca bonsai yang telah siap dan dipamerkan di dinding rumah Razali Shafie di Sungai Buloh, Selangor. Foto: MOHD NAIM AZIZ.

Menurut Razali, bahan-bahan terpakai mudah didapati di tempat pengumpulan barangan terbuang dengan penambahan kos pembelian simen dan pokok akar untuk perhiasan selepas proses keseluruhan siap dibuat.

“Kos yang dianggarkan adalah sebanyak RM30 sahaja. Pembelian ini adalah hanya untuk simen berwarna, sabut dan jenis pokok akar untuk penghasilan bonsai ini.

“Satu pasu pokok bonsai di pasaran bermula dengan harga RM20 mengikut saiz. Ini bergantung kepada corak dan bentuk yang menarik,” katanya ketika ditemui di bengkel mininya di sini baru-baru ini.

 

SEBAHAGIAN jenis dan rekabentuk pokok arca bonsaii yang dihasilkan Razali Shafie di Sungai Buloh, Selangor. Foto: MOHD NAIM AZIZ.

Razali menyifatkan penelitian pokok arca bonsai itu boleh dilihat dalam sudut yang berbeza-beza dan penghasilan kerja seni bukanlah boleh dihasilkan secara banyak seperti produksi pengeluaran kilang.

“Pokok bonsai ini adalah kerja seni teratur dan mengambil masa untuk dihasilkan dan ia mempunyai pelbagai sudut untuk dilihat,” katanya.- MalaysiaGazette