KUALA LUMPUR – Polis telah menyenaraikan lebih 10 barang larangan yang tidak boleh dibawa masuk ke dalam stadium pada aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.

Barang-barang larangan itu ialah mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser pen, sebarang objek tajam dan minuman keras.

Selain itu, payung atau tongkat, powerbank, botol air, pemetik api serta rokok atau rokok elektronik turut dilarang sama sekali.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di dalam dan luar stadium terjamin sepanjang perlawanan berlangsung, polis telah membuat persiapan rapi melibatkan pelbagai jabatan dan unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebagai langkah keselamatan, para penyokong yang hadir ke stadium akan diperiksa ketat tubuh badan, beg serta barangan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki pekarangan stadium bagi mengelak sebarang barang larangan yang disenaraikan polis disorok dan dibawa masuk.

Polis juga akan memastikan aliran trafik di sekitar stadium sentiasa lancar bagi memudahkan pergerakan orang ramai.

“Polis menasihatkan orang ramai yang tidak menonton perlawanan di stadium supaya mengelak daripada menggunakan jalan di sekitar stadium itu untuk menjamin kelancaran lalu lintas.

Beliau turut meminta orang ramai mematuhi arahan daripada anggota polis yang bertugas di lokasi, selain diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan mereka sewenang-wenangnya di bahu jalan.

“Mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas akan disaman dan ditunda tanpa sebarang kompromi oleh polis.

“Pada masa yang sama, tatasusila juga hendaklah dijaga kerana setiap penonton akan dipantau rapi agar tidak terlibat dalam sebarang unsur provokasi melampau sehingga boleh mencetuskan kekacauan sama ada semasa ataupun selepas perlawanan tersebut.

Perlawanan itu dijadulakan bermula jam 8.30 malam ini, dijangka dihadiri oleh 59,000 penyokong. – MalaysiaGazette