Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar diraikan oleh penyokongnya selepas diumum sebagai pemenang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dun Seri Setia di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia, Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 09 SEPTEMBER 2018.

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi N32 dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia apabila calonnya, Halimey Abu Bakar menewaskan calon Pas, Dr Halimah Ali dengan majoriti 4,027 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) N32, Datuk Azizi Mohd Zain di pusat penjumlahan undi PRK Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini tepat jam 9 malam tadi.

Dalam pertandingan satu lawan satu itu, Halimey memperoleh 13,725 undi manakala Halimah pula hanya mendapat 9,698 undi.

PRK Seri Setia merupakan pilihan raya kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang turut mencatat peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding PRK Sunga Kandis iaitu 44.1 peratus.

Walaupun PH berjaya mengekalkan kerusi yang disandangnya sejak PRU14 lalu, namun jumlah undi yang diperolehi oleh calon Pari Keadilan Rakyat merosot teruk dengan kehilangan 15,525 undi dan 15,345 majoriti undi.

PRK Seri Setia diadakan pada 8 September susulan penyandangnya, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus tahap empat. – MalaysiaGazette