Datuk Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat bagi minggu ini akan diadakan pada sesi pagi sahaja bermula 10 pagi hingga 1 petang.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddn Hassan yang membawakan usul berkenaan berkata, sesi yang dipendekkan itu hanya akan dilakukan sebelum pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

Jelasnya, meskipun tempoh persidangan dipendekkan namun jaminan diberikan bahawa hak ahli-ahli Parlimen untuk bertanya soalan, berbahas dan mengundi tidak akan terjejas.

“Tuan Yang Dipertua, mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1), saya mohon mencadangkan mesyuarat ditangguhkan pada jam 1 petang sehingga jam 10, Selasa 2 November,” katanya semasa persidangan hari pertama Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, keputusan untuk memendekkan sesi Dewan Rakyat bagi minggu ini telah dipersetujui oleh ketua-ketua Whip setiap parti semasa satu mesyuarat tergempar diadakan di bilik Yang Dipertuan Dewan Rakyat jam 10.30 pagi tadi.

Mesyuarat tersebut adalah untuk membincangkan beberapa perkara berhubung penularan wabak Covid-19 dan menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) di Parlimen perlu diperketatkan.

Ia juga berkaitan beberapa pegawai Ahli Dewan Negara disahkan positif Covid-19.

Menurut Takiyuddin, antara SOP baharu yang dicadangkan adalah catatan kehadiran dan keluar-masuk ahli-ahli Parlimen ke dalam Dewan.

Ketua-ketua parti juga akan diberi arahan dari semasa ke semasa berhubung SOP yang telah ditetapkan Parlimen untuk disampaikan kepada ahli-ahli Parlimen masing-masing.- MalaysiaGazette