Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson mengunjungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke Malaysia hari ini.

Pertemuan berlangsung di Menara Parlimen.

Semalam, Tillerson bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau merupakan pegawai tinggi pertama Amerika Syarikat yang mengunjungi Malaysia di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Ia juga merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik ke jawatannya pada 1 Februari lalu.

“Lawatan Tillerson memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut Wisma Putra.

Malaysia dan Amerika Syarikat menikmati hubungan baik dengan terdapat kolaborasi dan kerjasama dalam banyak bidang.

Dari segi dagangan, antara bulan Januari dan Mei lalu, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat 23.3 peratus kepada RM68.2 bilion (US$15.4 bilion) berbanding RM55.3 bilion (US$13.5 bilion) pada tempoh sama tahun lalu. – MalaysiaGazette