Rohani Abdul Karim

KUALA LUMPUR – “Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mempunyai hak jika mahu menyaman pihak yang memutar belitkan kenyataan beliau semasa persidangan Parlimen baru-baru ini,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Jelas Rohani, Shabudin merupakan salah seorang yang menyokong pindaan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak bagi mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Namun, beliau seorang yang teliti dan seterusnya memberikan ulasan terperinci termasuk menceritakan pengalaman sendiri sebagai seorang bekas hakim mahkamah syariah.

“Beliau memberikan contoh sahaja berdasarkan kes-kes yang pernah dikendalikan semasa menjadi hakim mahkamah syariah dahulu dan bukannya membuat kenyataan menyokong perkahwinan bawah umur.

“Shabudin sebenarnya seorang yang sangat menyokong pindaan tersebut dan saya juga faham keadaan ini berlaku kerana kadang-kadang apa yang didengar tidak sama dengan persepsi seseorang itu.

“Jadi, sekiranya Shabudin mahu mengambil tindakan saman, saya rasa dia memang berhak,” katanya semasa sidang media media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Makpem: Memperkasakan Warga Tua di sini hari ini.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak akhbar dan wartawan yang didakwa memutar belit kenyataannya berhubung isu perkahwinan perogol dengan mangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan mengkaji dan meneliti beberapa perkara terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dibuat.

Dalam perkembangan lain, Rohani berkata, kerajaan sedang mencari dan mengumpul input bagi mempersiapkan Malaysia sebagai sebuah warga tua pada 2030.

Menurutnya, jika perlu, sebuah akta berkaitan warga tua perlu diwujudkan bagi memudah cara golongan tersebut.

“Kami sedang mendengar semua pendapat dan padangan termasuk dari pakar-pakar luar negara.

“Sekiranya perlu ada akta warga tua, kami akan bawa cadangan tersebut tetapi apa pun, semuanya perlu diperhalusi kerana kita tidak mahu sebuah akta yang menyekat sebaliknya untuk memudah cara.

“Ini bagi memastikan semua golongan terpelihara dan tidak tertinggal ke belakang,” katanya lagi.

Menurut Rohani, sebagai persediaan ke arah negara tua menjelang 2030, kerajaan melalui kementerian beliau telah menyediakan Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang merangkumi aspek sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan, persekitaran, pekerjaan dan penyelidikan.

Setiap aspek diperincikan bagi memastikan tiada segmen terlepas pandang untuk memastikan kesejahteraan warga emas terjamim.- MalaysiaGazette