alcohol sales ban LMK license
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen (BN-Arau), Datuk Seri Shahidan Kassim mengajak semua ahli Dewan Rakyat memotong elaun masing-masing sebanyak 10 peratus untuk dimasukkan ke dalan Tabung Covid-19 yang diwujudkan kerajaan.

Beliau berkata, langkah itu adalah bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat lebih-lebih lagi mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Cadangan beliau itu turut disokong oleh beberapa ahli Parlimen lain di blok kerajaan.

“Demi keikhlasan kita kepada rakyat, marilah kita bersetuju untuk potong elaun kita sebanyak 10 peratus untuk membantu tabung Covid-19 yang mungkin dibuat oleh kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut memberitahu, bersedia menyerahkan 20 peratus daripada elaun wakil rakyat yang diterimanya bagi dimasukkan ke dalam tabung berkenaan.

“Pembangkang mungkin tak setuju…kalau setuju kita potong 10 peratus dan saya sendiri mencadangkan agar elaun saya dipotong 20 peratus,” ujarnya.

Terdahulu, Shahidan turut menggesa agar ke semua 220 ahli Parlimen (tidak termasuk Gerik dan Batu Sapi) agar menyokong usul Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 6 November lepas.

Beliau turut mengingatkan agar wakil rakyat yang bercadang menolak belanjawan itu supaya tidak perlu hadir pada hari Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan itu diputuskan.

Ini kerana tindakan mereka hanya akan menyebabkan rakyat terus tersepit dan terhimpit ketika negara berdepan dengan pasca yang sangat mencabar ketika ini.

Katanya, rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sangat menanti-nanti rancangan yang hendak dibuat oleh kerajaan semata-mata dan mereka tahu apa yang dilakukan itu akan memberi kebaikan. – MalaysiaGazette