Shamsul Anuar Ahamad Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pakar kejuruteraan awam, Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengumumkan pelantikan semula Shamsul Anuar Ahamad Ibrahim sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman dalam kenyataannya berkata, SCIB mengalu-alukan pelantikan Shamsul Anuar sebagai Pengerusi baharu syarikat dan berharap dapat bekerjasama dengan beliau untuk mengembangkan SCIB.

“Pengalaman beliau dalam perusahaan milik negara akan menjadi tidak ternilai kepada SCIB,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu Shamsul Anuar gembira dengan penyusunan semula ini dan berharap dapat bekerjasama lebih rapat dengan pasukan dalam perjalanan untuk mengubah SCIB kepada perniagaan yang lebih baik, lebih kukuh dan lebih mampan melalui pengembangan syarikat ke Semenanjung Malaysia dan penerokaan dalam projek-projek di Kalimantan, Indonesia.

Shamsul Anuar, adalah felo Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun dan ahli Institut Akauntan Malaysia, pertama kali dilantik sebagai ahli lembaga Syarikat pada 1 September 2015.

Beliau adalah ahli Jawatankuasa Audit SCIB dan Jawatankuasa Saraan dan Pencalonan serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

Shamsul Anuar merupakan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Kumpulan Permodalan ASSAR Sdn. Bhd., syarikat induk Amanah Saham Sarawak Bhd. syarikat pelaburan milik kerajaan dengan portfolio pelaburan dalam perkhidmatan kewangan, pertanian dan berasaskan sumber, pembangunan hartanah dan pembinaan, perkhidmatan dan teknologi, pembuatan, perdagangan dan lain-lain. – MalaysiaGazette