Khairy Jamaluddin
PETALING JAYA – Peminat sukan di rantau ini bakal menerima siaran berkualiti tinggi sewaktu temasya Sukan SEA 2017, apabila 24 daripada 38 jenis sukan yang dipertandingkan akan disiarkan secara langsung.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata jumlah siaran langsung membabitkan lebih daripada 60 peratus sukan yang dipertandingkan, akan disiarkan menerusi televisyen dan streaming mulai 19-31 Ogos.

“Ini adalah liputan secara langsung paling banyak dalam sejarah temasya sukan ini. Setakat ini, saya sangat gembira dengan kerjasama yang diterima daripada badan penyiaran serantau.

“Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) mahu memastikan kita menampilkan persembahan terbaik untuk penonton di gelanggang serta di rumah menerusi siaran berkualiti tinggi,” katanya selepas perasmian mesyuarat kedua hos penyiaran di sini Selasa.

Sebanyak 15 badan penyiar dari tujuh negara ASEAN serta satu penyiar antarabangsa, International Games Broadcast Services (IGBS) dari Switzerland, menghadiri menyuarat ini.

Khairy, yang juga Pengerusi MASOC berkata penyiar perlu memainkan peranan penting dalam menampil detik menarik yang menunjukkan saat kejayaan atau kekecewaan atlet sewaktu Sukan SEA kepada orang ramai di dunia, khususnya di ASEAN.

Mengenai persiapan gelanggang, Khairy berkata Bandaraya Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil sudah 80 peratus siap dan dijangka diserahkan pada Julai manakala Velodrom Nilai akan dibuka bulan depan.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo berkata matlamat utama penubuhan Jawatankuasa Penyiaran Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) minggu lepas adalah bagi membolehkan temasya itu disaksikan seramai mungkin di rantau ini.

“Selari dengan tema Sukan SEA iaitu Bangkit Bersama, kami mahu memastikan siaran berkualiti tinggi serta disiarkan sebanyak mungkin ke negara-negara termasuk Timor Leste.

“Jadual bagi penyiaran sudah ditetapkan…ia bukan sahaja merangkumi sukan tumpuan bagi Malaysia, tetapi ada juga sukan tumpuan bagi negara lain dan sukan kurang popular dan baharu seperti speed skating,” katanya.

Dua puluh empat sukan yang dipilih untuk siaran langsung itu adalah olahraga, akuatik (terjun, renang, renang seirama dan polo air), bola sepak, berbasikal (trek), bowling, biliard dan snuker, ragbi 7 sepasukan, angkat berat, ping pong dan gimnastik (artistik dan gimrama).

Turut dipilih luncur ais (pecut), tinju, muay thai, karate, taekwondo, pencak silat, wushu, bola keranjang, badminton, bola jaring, sepak takraw, skuasy, memanah dan hoki.

— BERNAMA