Roslan Shahir Mohd Shahir

SHAH ALAM – Ahli Pas di peringkat akar umbi tidak sekali-kali goyang dengan tindakan pihak berkuasa memanggil Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk siasatan atas dakwaan ucapannya yang dikatakan berbaur hasutan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang menyifatkan akar umbi tahu Abdul Hadi bukan terlibat dengan jenayah rasuah, menyalahgunakan kuasa atau jenayah seksual.

Menurut beliau, pemimpin Pas itu hanya memberi penerangan, menjernihkan kekeruhan dan mahu menegakkan perjuangan parti di atas pentas politik.

“Semalam, Presiden Pas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk dirakam keterangannya berikutan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Menurut peguamnya, siasatan itu mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhidmatan dan rangkaian perkhidmatan.

“Selama lebih 40 tahun Abdul Hadi menjadi ADUN, Ahli Parlimen, Menteri Besar dan Ketua Pembangkang, beliau bersungguh-sungguh bertarung di atas pentas politik demi memenangkan matlamat dan dasar perjuangan Pas,” katanya sebagaimana dilaporkan Harakahdaily, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dipanggil untuk memberi keterangan selepas beberapa laporan polis dibuat ke atasnya berhubung ucapan berbaur hasutan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau sampai pada jam 2.55 petang dan disambut beberapa pegawai dan anggota IPD Sentul.

Menurut Roslan Shahir, jika ada yang diperkatakan atas pentas politik itu pedas dan tidak boleh diterima musuh politik, itu adalah adat.

Yang penting, katanya, ia benar dan biar rakyat yang menilai serta mengukurnya.

Sementara itu, kata beliau, politik juga membuka ruang untuk berkuasa bagi melaksanakan cita-cita perjuangan.

“Yang menjadikan ahli politik tempang dan pincang apabila diberi kuasa, ia khianat. Alhamdulillah, sepanjang 40 tahun, ada ketika sebagai pembangkang, menjadi kerajaan dan kini kembali pembangkang.

“Namun, rekod Abdul Hadi bersih dari sebarang siasatan atau pendakwaan yang melibatkan pengkhianatan amanah dan kepercayaan rakyat terhadapnya.

“Tuan Guru tidak pernah disiasat atau didakwa kes rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, apatah lagi kes melibatkan jenayah seksual. Ini semua kemungkaran, tindakan tidak bermoral yang perlu dijauhi apatah lagi bagi seseorang yang berkecimpung di pentas politik,” ujar beliau.

Kata Roslan Shahir, kerana itu apabila Abdul Hadi disiasat kerana kononnya didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur khianat awam atau seumpamanya, ahli Pas tidak gusar.

“Ini kerana kita kenal Tuan Guru kita. Ahli-ahli Pas akan berdiri teguh mempertahankan Tuan Guru kerana kita semua, malah rakyat Malaysia tahu dan mengenali akhlak dan keperibadiannya.

“Yang kita akan marah apabila Tuan Guru disiasat kes rasuah atau salah guna kuasa atau pecah amanah serta kes jenayah seksual kerana ianya bukan amalan ahli atau pimpinan gerakan Islam seumpama Pas.

“Jika benar Tuan Guru ada melakukan kesalahan mengikut undang-undang yang dinyatakan itu siasat dan dakwalah beliau, biar masing-masing kemukakan bukti. Biar ianya diadili seadil-adilnya,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Diperingkat akar umbi, hubungan akrab Muafakat Nasional masih kukuh dan mantap. Ayuh jom semua akar umbi Umno sama2 kita istiqamah dengan PN! Jom undi PN di P Serai dan Tioman.

  2. Hari2 mau siasat Hj Hadi, dibawah kerajaan halimunan minoriti, rakyat kini sudah takut untuk bersuara! Adakah tiada lagi hak demokrasi utk pemimpin parti terbesar bersuara?

Comments are closed.