KUALA LUMPUR – Syarikat semikonduktor tempatan, Silterra Malaysia Sdn Bhd, mempunyai keupayaan untuk menyumbang secara positif kepada pembangunan industri automotif tempatan terutamanya dalam pembuatan kereta nasional ketiga, kata Ketua Pegawai Eksekutif Firdaus Abdullah.

Beliau berkata, syarikat yang merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, mampu menghasilkan komponen kereta berikutan ia mempunyai pengalaman yang luas dalam pembuatan cip semikonduktor dalam pelbagai industri selama lebih dua dekad.

“Di Silterra, kami pada dasarnya pembuat cip. Kami mempunyai teknologi yang diperlukan untuk mereka cip yang akan membawa fungsi baharu kepada dunia automotif dan lain-lain.

“Bagaimanapun, kami perlu bekerjasama dengan pihak lain seperti pereka dan syarikat pemasangan kereta untuk mewujudkan prototaip automotif,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata Malaysia dapat memenuhi setiap langkah dalam rantaian nilai automotif, berikutan negara ini telah membina namanya sendiri dalam menyediakan ekosistem pembuatan bertaraf dunia untuk sektor penjagaan kesihatan, pengkomputeran, pengguna dan komunikasi.

Mengenai prospek perniagaannya, Firdaus berkata Silterra menyasarkan untuk memperluaskan pasarannya di Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Taiwan dan sebahagian besar China.

“Pada masa ini, sebanyak 24 peratus daripada pendapatan kami disumbangkan oleh Eropah manakala 11 peratus daripada AS. China sahaja menyumbang 34 peratus dan Taiwan, 31 peratus,” katanya.

Setakat ini, Silterra membekalkan cip antaranya untuk Google, Apple dan produk Amazon.

“Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa syarikat tempatan mempunyai keupayaan dan kapasiti teknologi untuk menghasilkan komponen bagi jenama global terkemuka itu,” katanya.

Walaupun dikritik sebelum ini berikutan tidak mencatat keuntungan kepada dana kekayaan negara yang membawa kepada khabar angin ia dijual, katanya syarikat kini mempunyai purata pendapatan sebanyak RM600 juta dan keuntungan sebanyak RM60 juta, untuk tiga tahun berturut-turut.

“Dengan kedudukan kami yang kukuh dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), kami menjangka akan terus meraih keuntungan bersih yang stabil walaupun ekonomi global perlahan,” katanya.

Antara kejayaan yang terkini termasuklah dipilih oleh pengeluar mikroelektronik utama China, Beijing Yandong Microelectronics Co Ltd, untuk menjadi rakan kongsi dalam penubuhan kilang di Beijing bernilai RM2.9 bilion.

Baru-baru ini, syarikat semikonduktor itu turut memperoleh pensijilan Pasukan Petugas Automotif Antarabangsa patuh automotif terkemuka di dunia yang memberi laluan kepada Silterra untuk mengembangkan lagi sayapnya, menumpukan kepada teknologi maju bertaraf dunia dalam sektor automotif.

“Memandangkan kami sebahagian daripada Khazanah, kami perlu memainkan peranan penting dalam kepentingan strategik negara, dengan menjadi pemangkin kepada pelaburan teknologi tinggi di Malaysia.

Dari segi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara, Pengarah Urusan Frost & Sullivan Malaysia dan Naib Presiden Kanan untuk Asia Pasifik Hazmi Yusof berkata Silterra mempunyai keupayaan untuk menarik FDI berikutan ia telah mewujudkan penawaran yang khusus untuk teknologi maju dalam sektor seperti sains hayat, fotonik silikon, tenaga pintar, automotif dan lain-lain.

“Walaupun Malaysia dikenali sebagai hab E&E di Asia Tenggara, usaha untuk mendapat FDI selama ini menjadi lebih kompetitif.

“Dengan dunia menumpukan kepada kemajuan teknologi, Silterra mempunyai kedudukan yang kukuh dalam pasaran global sebagai pengeluar mikrocip, yang boleh menarik FDI secara positif ke dalam negara,” katanya.

Beliau juga berkata dengan banyak negara di Asia Tenggara berkembang pada kadar yang cepat, syarikat Malaysia perlu memilih satu bidang dan menguasainya, seperti Silterra.

“Cip yang dibuat oleh Silterra digunakan di seluruh dunia, di dalam telefon dan kereta dan banyak lagi. Ini menunjukkan kepakarannya diiktiraf di peringkat global. Syarikat lain, terutamanya yang menyasarkan untuk berkembang di peringkat global perlu mempunyai pengkhususan dan menguasainya untuk terus menanam keyakinan dalam kalangan pelabur,” katanya. – MalaysiaGazette