Siti Nurhaliza bersama trofi-trofi yang dimenanginya selepas merangkul anugerah Album Terbaik yang merupakan antara dua anugerah utama pada malam Anugerah Industri Muzik Ke-22 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 18 DISEMBER 2016.

KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, single terbaru Datuk Siti Nurhaliza berjudul Segala Perasaan yang dilancarkan semalam kini menjadi pilihan ramai pendengar muzik.

Lagu ciptaan Ivan Lahardika itu  ‘trending’ dan terus melonjak ke kedudukan pertama carta iTunes Malaysia.

Ia menjadi single pertama bagi album studio ke-16 penyanyi popular itu yang bertajuk SimetriSiti dan akan dilancarkan pada 5 Mei ini.

Lagu Segala Perasaan mengangkat tema cinta yang sangat luas dan melodinya mudah diterima oleh penggemar muzik. Ivan sendiri menceritakan, lirik lagu ini bersatu dengan melodinya dan segala keindahan perasaan disampaikan menerusi karya terbabit.

Lagu berkenaan diterbitkan Mujahid Abd. Wahab, manakala Aubrey Suwito pula bertindak sebagai penerbit untuk rakaman vokal penyanyi bersuara hebat itu.

Sementara itu, album terbaharu Siti adalah produk kerjasama Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd dengan Universal Music Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Siti akan muncul mengacarakan program, Inspirasi Takwa Datuk Siti Nurhaliza, sebanyak empat episod terbitan Global Station Sdn Bhd, yang akan memulakan siarannya pada 31 Mei ini menerusi Astro Oasis. – MalaysiaGazette