Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperkenalkan skim baharu bagi menstruktur semula industri padi dan beras tempatan dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini, KPKM giat mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh meliputi petani sehingga ke persatuan peladang dalam usaha mencari langkah penyelesaian jangka panjang.

Menurut beliau, ia bagi mengumpul maklumat bagi melaksanakan skim baharu berkait hal ehwal padi dan beras tempatan di negara ini.

“Tahun ini kita akan buat penyusunan baru dan sedang melakukan libat urus secara intensif bersama semua pihak, petani, pengilang dan persatuan peladang.

“Semua memberi pandangan mereka dan kita akan umumkan dalam dua tiga hari ini mengenai satu skim baharu.

“Tetapi jangka panjangnya yang lebih kepada penstrukturan semula industri beras dan padi negara dan semuanya terlibat termasuk dengan ahli Parlimen supaya semua memberi pandangan kerana ini masalah negara, bukannya parti mana, bukan masalah kaum yang memerlukan tuntutan bersama,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mohamad berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang mahu KPKM menjelaskan langkah luar biasa bagi menangani isu bekalan beras putih tempatan (BPT) yang sukar didapati di pasaran ketika ini. – MalaysiaGazette