Dua kontena berisi sotong beku bernilai lebih RM1 juta dirampas semalam.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas sotong beku bernilai RM1 juta di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam.

Sotong beku dari negara China itu disita kerana tidak mempunyai permit import yang sah.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua buah kontena mendapati 4,500 kotak berisi sotong sejuk beku dianggarkan bernilai lebih RM1 juta tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan daripada Jabatan MAQIS.

“Kita sita sementara siasatan lanjut dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perbuatan mengimport sotong sejuk beku tanpa permit import yang sah adalah menjadi suatu kesalahan dibawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, katanya.

Tambah Zarina, pihaknya komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette