Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah meluluskan pelantikan sejumlah 1,223 individu bagi membantu pasukan petugas kesihatan dalam merawat pesakit Covid-19.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah meluluskan pelantikan sejumlah 1,223 individu bagi membantu pasukan petugas kesihatan dalam merawat pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia terdiri daripada 624 jururawat Gred U29, 336 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29, 213 Penolong
Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U29 dan 50 Juruteknologi Makmal Perubatan Gred U29.

Katanya, selaras dengan kelulusan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan surat tawaran pelantikan kontrak kepada calon yang berjaya pada Isnin ini dan penerima perlu melapor diri bertugas pada Rabu minggu depan.

“Daripada sejumlah 624 pelantikan Jururawat Gred U29 yang diluluskan, sebanyak 317 Jururawat Gred U29 akan ditempatkan di negeri Sabah, manakala, 18 lagi akan ditempatkan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, kesemua pelantikan itu kebanyakannya terdiri daripada anak kelahiran tempatan.

Pihaknya berharap dengan pertambahan petugas kesihatan tersebut ia akan dapat memperkukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan di negeri-negeri yang berkenaan, khususnya di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. – MalaysiaGazette