KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung lesen operasi syarikat bas ekspres, Goldstar Express (M) Sdn. Bhd. berkuatkuasa serta merta.

Menurut kenyataan SPAD, penggantungan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap perkhidmatan bas ekspres, Alisan Golden Coach yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 137.4 Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi ini mengakibatkan 14 orang maut dan 16 penumang cedera.

“Penggantungan itu diambil untuk menjamin keselamatan penumpang dan juga bekerjasama dengan pelbagai agensi yang sedang terlibat dalam penyiasatan kemalangan tersebut,” kata kenyataan itu sambil memberi jaminan siasatan rapi, menyeluruh dan telus akan dijalankan terhadap insiden penuh tragis itu.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan kemalangan tersebut dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan SPAD akan menyiasat kesilapan daa kecuaian dalam Kod Amalan Industri (ICOP) Keperluan Keselamatan.

Tambahnya, keselamatan penumpang diberi keutamaan dan di bawah syarat-syarat lesen operator, semua pengusaha pengangkutan awam darat dikehendaki mematuhi standard yang telah ditetapkan.

“SPAD tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan tegas mengingatkan pengusaha bas ekspres.

“Mereka yang mendapati melanggar keperluan keselamatan dan peraturan yang ditetapkan akan menghadapi tindakan undang-undang yang tegas,” katanya.

Malah suruhanjaya itu tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen dan permit pengendali yang didapati melanggar keperluan keselamatan. – MalaysiaGazette