Perdana Menteri yang juga Calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon BN N.39 Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin (dua kiri) makan tengah hari bersama masyarakat setempat pada Program Kenduri Rakyat bersama Komuniti Bandar Kemayan sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kemayan, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

 

BERA – Jika banjir luar biasa berlaku, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada kuasa menghentikan proses Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kalau berlaku banjir yang besar sehingga tak membolehkan orang nak keluar dan sebagainya, maka saya kena berbincang dengan pihak SPR untuk mencari alternatif lain.

“Kalau SPR nak menghentikan pilihan raya, terserah kepada SPR. Pilihan raya ini adalah urusan SPR,” katanya yang juga calon Barisan Nasional bagi Parlimen Bera dalam sidang media selepas menghadiri kenduri rakyat dan menyantuni warga Bandar Kemayan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas berkenaan kenyataan Met Malaysia bahawa Monsun Timur Laut (MTL) akan berlaku lebih awal daripada jangkaan sebelum ini.

Namun, kata Ismail Sabri, kerajaan telah membuat persediaan lebih awal untuk menghadapi kejadian banjir buruk terutama di Pahang.

Malah di Bera sendiri, pusat pemindahan mangsa banjir telah  dibuka sejak Oktober tahun lalu dan telah bersedia dengan segala kemungkinan.

“Kita telah memberi tumpuan untuk persediaan banjir, sama ada dari segi pusat pemindahan banjir dan penambah baikan kawasan pemindahan mangsa banjir yang jadi hotspot banjir.

“Kita telah arahkan kawasan tersebut menyediakan kelengkapan lengkap, bilik air dan fasiliti selengkapnya,” katanya.

Jelas beliau, kuasa sebenar untuk menyelaras dan melaksanakan segala intervensi berkenaan banjir adalah tanggungjawab di peringkat negeri.

“Dan setiap daerah di negara ini Pusat Pengurusan Bencana setiap daerah telah dibentuk dan diketuai Pegawai Daerah,” tambahnya.– MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ini perangai orang degil, sudah terhantuk baru nak tergadah. Bukan orang tidak tegur dan bagi nasihat. Kan sudah membazir kalau banjir, dengan posternya, dengan khemah nya terkena banjir. Bukan rakyat tidak tahu pusat pemindahan banjir biasanya sekolah-swkolah dan dewan serbaguna yang biasa jadi tempat membuang undi. Harap pengundi ajar sehaja kepada yb-yb yang degil ini.

Comments are closed.