Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat maklumat baharu berhubung siasatan membabitkan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan kertas siasatan sudah diarahkan dibuka, kata Datuk Dzulkifli Ahmad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu yang tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung maklumat baharu tersebut berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat berhubung kertas siasatan melibatkan anak syarikat Felda tersebut.

“Isu FGV masih diteruskan dan saya nak maklumkan di sini kita ada menerima maklumat baharu mengenai satu isu yang melibatkan Felda jadi saya telah arahkan satu siasatan baharu dibuat.

“Kertas siasatan baharu dibuka dan kita akan keluarkan kenyataan akhbar kemudian dalam masa terdekat,” katanya semasa sidang media selepas Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila bekas pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad dan lembaga pengarahnya mengarahkan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha, bercuti bermula 6 Jun lalu.

Selain Zakaria dan Ahmad Tifli, dua lagi eksekutif yang turut diarah bercuti adalah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Susulan itu, SPRM juga memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat senaraian awam itu.

Pada 8 Jun, pegawai SPRM berkunjung ke ibu pejabat Felda dan merampas beberapa dokumen berkaitan sebagai bahan siasatan mereka.

Pada 19 Jun, Isa meletakkan jawatan.

Beliau berhenti daripada pelantikannya sebagai pengarah yang dilantik kerajaan untuk memberi perhatian kepada tanggungjawab peribadinya.

Terdahulu dalam program di HKL hari ini, Dzulkifli berkata program GERAH akan bergerak ke semua hospital seluruh negara bagi menyampaikan mesej menolak rasuah kepada orang awam dan memberi kesedaran tentang perkongsian maklumat untuk membanteras rasuah.

“Sebelum ini kita pergi ke Kementerian Pengangkutan Awam berjumpa dengan rakyat Malaysia, bulan lepas kita ke pasar-pasar dan kita akan pergi ke Sabah dan seluruh negara bertemu rakyat Malaysia untuk sampaikan mesej anti rasuah,” katanya,

Menurut Dzulkifli, hasil daripada program tersebut pihak SPRM menerima banyak aduan dan maklumat baharu berhubung isu rasuah daripada orang awam dan mendapat respon positif tentang program yang dianjurkan itu.

“Memang positif daripada rakyat sejak saya terajui SRPM memang ada tindakan laporan malahan program bebas rasuah dapat sambutan hangat kementerian dan agensi kerajaan nak buat,” katanya. – MalaysiaGazette