Calon PH, Dr. S. Streram (dua kanan) berpelukan dengan penduduk kampung sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2019

PRK RANTAU – Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S.Streram mengakui dirinya sebagai calon underdog.

Bagaimanapun beliau yakin 60 hingga 70 peratus untuk PH merampas merampas kerusi itu daripada UMNO buat kali pertama pada 13 April ini.

“Manifesto untuk Rantau akan saya umumkan menerusi satu pelancaran dalam satu sidang media khas esok,” katanya semasa bersantai bersama penduduk Kampung Felda Sendayan dan media dekat Seremban hari ini.

Bagaimanapun pakar bius berpengalaman selama 35 tahun itu tidak menganggap dirinya menjadi beban untuk menang pertempuran 13 April ini.

Sebaliknya Streram berkeyakinan tinggi PKR mampu mengejutkan UMNO dan calonnya Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyandang tiga penggal kerusi itu sebelum ini.

“Saya tidak menganggap ia sebagai beban dan boleh menjejaskan maruah parti dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami adalah underdog dalam lapangan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk mengejutkan penyandang.

“Lagipun beban kemenangan itu bergantung juga kepada usaha dan kerja keras yang yelah dilakukan selama lebih tiga tahun setengah,” ujarnya lagi.

Justeru Streram berkata, jentera PH mempunyai pasukan kepimpinan terkuat di belakangnya yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dan Anwar untuk merampas Rantau.

Ditanya strategi beliau untuk memenangi sokongan dan undi majoriti komuniti Melayu di Rantau, beliau berkata, khidmat beliau sebagai pakar bedah kepada komuniti tanpa memilih warna kulit akan menjadi bukti kepada kira kira 20,922 pengundi.

“Saya akan turun pada mengetuk pintu rumah setiap pengundi sepanjang 13 hari kempen nanti yang tahu sumbangan saya selama ini.

“Saya akan merayu pengundi supaya memberikan peluang kepada PH  untuk berkhidmat mewakili mereka di Rantau,” tegasnya lagi.-Malaysia Gazette