SINGAPURA – Usaha Malaysia (A3 stabil) untuk mewujudkan instrumen kewangan Islam bagi pasaran tempatan dan meningkatkan penggunaan Sukuk domestik, khusus untuk membiayai defisit bajetnya, menyokong kualiti kredit negara, dengan menambah kestabilan dan kepelbagaian kepada profil peminjamannya dan menurunkan pendedahan negara kepada risiko mudah tunai, kata Moody’s Investors Service.

Moody’s mengambil maklum bahawa beban hutang kerajaan Malaysia agak besar, mencatatkan 50.8 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), angka yang lebih besar daripada median 40.1 peratus untuk negara dengan penarafan A.

Firma penarafan itu berkata, terbitan Islam Kerajaan Malaysia terdiri daripada 40.0 peratus baki hutang kerajaan yang belum selesai pada akhir suku hingga 31 Mac, 2018, meningkat daripada 13.9 peratus pada akhir tahun 2008.

Inisiatif pelbagai pihak berkuasa untuk menyokong pasaran diunjur mendorong kedudukan ini menjadi lebih tinggi, katanya.

Moody’s berkata peralihan kepada instrumen kewangan Islam adalah positif kredit kepada negara berdasarkan kedudukan pegangannya yang lebih stabil berbanding bon konvensional, dan kepelbagaian yang dibolehkan dalam profil hutang Malaysia.

Menurut Moody’s bon kerajaan konvensional dan instrumen kewangan Islam adalah sama dari segi saiz terbitan, kadar kupon dan pelbagai tahap, dengan kedua-duanya merupakan obligasi langsung kerajaan.

Moody’s berkata pihak berkuasa telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan kecairan dalam pasaran kewangan Islam dan merapatkan jurang harga antara bon konvensional dan bon Islam kerajaan Malaysia.

Malaysia menonjol dari segi penguasaan terbitan sukuk negara dalam mata wang tempatan.

Walaupun kerajaan lain, terutama dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merupakan pasaran penting bagi kewangan Islam, rangka kawal aturan dan perundangan dalam penerbitan Sukuk di pasaran ini masih baharu berbanding Malaysia, yang telah membangunkan pasaran modal Islam sejak awal 1990-an, katanya.

Analisis Moody’s ini terkandung dalam laporan yang baru dikeluarkan bertajuk ?Kerajaan Malaysia: Penambahan pembiayaan melalui sukuk memperkukuh pasaran modal Islam, mengurangkan risiko kecairan kerajaan, positif kredit’. — BERNAMA