ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia di sini, hari ini.

Ketibaan baginda pada jam 11 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta barisan jemaah menteri.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan ucapan Perdana Menteri.

Baginda meluangkan masa lebih satu jam pada majlis tersebut sebelum berangkat pulang jam 12.30 tengah hari.

Terdahulu, orang ramai membanjiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Malaysia Madani bersama Perdana Menteri serta jemaah menteri.

Majlis yang dijadualkan bermula pada jam 10 pagi itu dimulakan lebih awal iaitu pada jam 9.30 pagi selepas ramai rakyat sudah mula beratur seawal jam 8.30 pagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada jam 9.50 pagi sebelum beramah mesra dengan pengunjung yang hadir. – MalaysiaGazette